Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Yazid Othman berkata, walaupun Belanjawan 2019 boleh dianggap positif untuk bumiputera kerana hasilnya banyak menumpukan kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) namun pihaknya bimbang dengan nasib golongan usahawan yang majoritinya masih bergantung kepada perolehan daripada kerajaan.

“MTEM menaruh harapan pada penjelasan lanjut berkenaan Akta Perolehan Kerajaan yang dimulakan tahun depan untuk mengawal selia proses perolehan bagi memastikan ketelusan dan persaingan terbuka.

“Menerusi akta ini, MTEM berharap hanya kontraktor bumiputera yang berkelayakan dan tulen akan berpeluang untuk mendapat kontrak kerajaan yang dikhaskan untuk bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ahmad Yazid lagi, MTEM juga berharap Akta Perolehan Kerajaan akan berkuasa pada kontrak yang tinggi nilainya dan diiringi akta sabotaj ekonomi yang akan menghapuskan amalan Ali Baba bagi mereka yang mendapat kontrak kerajaan.

Sementara itu katanya, MTEM tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa kerajaan yang baik tidak sepatutnya melibatkan diri dalam perniagaan.

“Ini seolah-olah menandakan keinginan untuk melepaskan pegangan kerajaan di perniagaan yang dimilikinya. Jika ini terjadi, suatu alat kemajuan ekonomi bumiputera yang paling berkesan akan terjejas,” katanya. - UTUSAN ONLINE