Namun, kesempitan hidup ekoran harga getah yang rendah ketika ini menyukarkan kehidupan sebuah keluarga di Kampung Bendang Bukit di sini.

Penoreh getah, Asni Wahab, 46, berkata, dia terpaksa mencatu wang perbelanjaan tiga daripada lima orang anaknya yang masih bersekolah disebabkan harga komoditi itu kini yang hanya kira-kira RM2.30 sekilogram.

“Tiga anak saya masih bersekolah, masing-masing di tingkatan dua dan satu serta seorang lagi berusia enam tahun di tadika.

“Wang saku untuk anak sulung dan kedua itu hanya RM3 sehari seorang berbanding RM5 sebelum ini. Setelah ditolak tambang bas sebanyak RM1.40, tinggallah kira-kira RM1.60 untuk mereka berbelanja di sekolah.

“Saya tidak tahu macam mana mereka menghadapinya di sekolah kerana harga makanan kini juga semakin mahal, tetapi saya bersyukur kerana jarang dengar mereka merungut dan adakalanya tidak mem­belanjakan wang itu sebaliknya menyimpan di dalam tabung,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selain tiga anak Asni dan isteri, Norasmawati Md. Radzi, 37, pasangan itu turut memiliki dua orang lagi anak iaitu ma­sing-masing seorang baru selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu dan seorang lagi berusia dua tahun.

Kata Asni, keadaan harga getah kurang memberangsangkan menyebabkan dia terpaksa memikirkan cara lain bagi meraih pendapatan.

“Kalau musim hujan, saya kena buat kerja lain seperti menebas semak-samun di kebun orang, mengambil upah menyembur racun di bendang atau membantu baiki rumah penduduk, dapatlah sikit untuk sara keluarga.

“Bagi saya biar tidak makan pun tak mengapa, dapat hirup secawan kopi pun sudah cukup asalkan anak-anak dapat makan,” katanya yang turut berharap kerajaan dapat melakukan sesuatu bagi menstabilkan semula harga getah di pasaran.

Asni juga berharap, pihak berkaitan dapat memikirkan mekanisme yang turut memberi manfaat kepada golongan se­pertinya yang hanya mengambil upah menoreh getah kerana bantuan disalurkan kerajaan ketika ini hanya meliputi pemilik kebun.