Katanya, negara tersebut tidak boleh melihat kes kematian abang pemimpin Korea Utara itu sebagai isu dalaman negara berkenaan semata-mata kerana ia turut membabitkan warga antarabangsa dan hubungan pelbagai negara.

“Korea Utara perlu menghormati hubungan diplomatik antarabangsa. Bagi mereka, ia (kes kematian Kim Jong-nam) bukan berkaitan isu antarabangsa tapi sebagai isu mereka. Saya fikir Korea Utara perlu belajar menghormati negara lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat tertutup di Bangunan UMNO Sabah, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan pengusiran Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol, semalam.

Menurutnya, meskipun keputusan mengusir duta Korea Utara itu dikeluarkan oleh kementeriannya, namun keputusan itu dibuat oleh Kabinet.

“Ia sebenarnya keputusan dibuat oleh Kabinet dan saya fikir kita sudah beri mesej yang jelas kepada kerajaan Korea Utara bahawa kita serius menyelesaikan masalah ini dan kita tidak mahu ia dimanipulasi.

Ahmad Zahid berkata, pendirian yang diambil duta Korea Utara ke Malaysia berhubung isu kematian Jong-nam ialah beliau (Kang Chol) cuba memanipulasi isu berkenaan.

“Kita lakukannya secara profesional dari segi penyiasatan saksi, termasuk beberapa bukti yang kita jumpa melalui DNA, forensik, CCTV berdefinisi tinggi, juga beberapa elemen perisikan yang kita jumpa,” katanya.

Katanya, sebagai masyarakat antarabangsa, semua negara harus bekerjasama menyelesaikan masalah itu dan bukannya memburukkan keadaan dengan memanipulasi sesuatu isu. – BERNAMA