Pengerusi Majlis Bersama Kebangsaan Pihak Pekerja Badan Berkanun, Ku Azmi Ku Ibrahim berkata, penubuhan badan khusus itu perlu bagi memberi ruang kepada pekerja badan berkanun berbincang serta memberi pandangan terhadap segala masalah mereka.

Beliau berkata, walaupun sudah ada platform yang disediakan kepada pekerja badan berkanun untuk mengadakan perbincangan, perkara tersebut tidak dapat dijalankan secara bersepadu.

“Sekarang sudah ada tiga kumpulan pekerja mempunyai badan khusus iaitu pekerja kumpulan sokongan, kumpulan sains dan teknologi serta pengurusan profesional.

“Jadi, saya minta satu platform khusus diberikan kepada badan berkanun selepas ia dimansuhkan kerajaan semasa pelaksanaan sistem saraan baharu pada tahun 1992,” katanya dalam Persidangan Kebangsaan Badan Berkanun bertemakan Cabaran dan Masa Depan Agensi Badan Berkanun di Universiti Malaya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ku Azmi berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan tersebut kepada kerajaan pada bulan Oktober lalu.

“Kita berharap kerajaan dapat meluluskannya dengan secepat mungkin dan kita juga akan menganjurkan himpunan badan berkanun pada tahun hadapan untuk bertemu Perdana Menteri bagi menyatakan sokongan kepada kerajaan,” jelasnya.