Ini susulan daripada pengumuman dalam Belanjawan 2019 pada Jumaat lalu, untuk memperkenalkan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara potongan gaji berjadual antara dua hingga 15 peratus daripada gaji bulanan kepada mereka berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

MUHAMMAD FAIZZUDDIN
MUHAMMAD FAIZZUDDIN 

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menganggap pengu­muman itu amat mengejutkan.

Presiden Gamis, Muhammad Faizzuddin Mohd. Zai berkata, kerajaan PH sepatutnya memahami masalah golongan muda yang tidak mampu untuk membayar hutang PTPTN, bukannya mengambil kesempatan terhadap kelemahan atau kesempitan ekonomi anak muda.

“Kerajaan PH seolah-olah telah lupa tujuan perjuangan mereka untuk membela nasib golongan graduan dan golongan berpendapatan rendah apabila sudah menikmati gaji-gaji yang menggunung selepas menjadi menteri di dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau turut memberikan cadangan supaya gaji menteri serta pemimpin lantikan politik dan syarikat milik kerajaan (GLC) dipotong sehingga 40 peratus untuk menampung kos pendidikan negara.

“Kami mahasiswa konsisten menyatakan bahawa kerajaan wajib membantu rakyat untuk menikmati pelajaran bermula daripada pengajian rendah hinggalah ke pengajian yang tertinggi,” katanya.

Beliau turut berkongsi statistik yang dilakukan oleh Kajian Pengesanan Mahasiswa 2015 yang mendapati sebanyak 54 peratus mahasiswa yang mampu berkerja hanya mempunyai gaji RM2,000 dan ke bawah sekali gus dilihat berdepan beban untuk memenuhi syarat pembayaran balik PTPTN yang mahu diperkenalkan itu.