Menurutnya, segala dasar, agenda dan kepimpinannya di kementerian itu mendapat sokongan dan beliau berharap ia akan berterusan dalam membentuk sebuah pasukan yang mantap.

Rina berkata, situasi sekarang amat berbeza ketika beliau mula menjalankan tugas di kementerian itu kerana perlu berdepan pelbagai cabaran sebagai ketua yang baharu mewakili kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya perlu melalui pelbagai proses dan peringkat dalam tempoh hampir setahun mengetuai pentadbiran di kementerian ini dan situasi ber­kenaan dianggap perkara biasa sebagai ketua yang baharu.

“Di peringkat bawahan juga sokongannya bertambah baik, ini adalah perkara yang amat diharapkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementerian 2018 di sini hari ini.

Menurut Rina lagi, bagi mengeratkan hubungan dengan warga kementerian, beliau telah menyampaikan sendiri Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2018 kepada 2,526 orang penerima.

Katanya, majlis itu berlangsung selama dua hari bermula semalam dan sesi terakhir hari ini melibatkan pe­nyampaian anugerah kepada 1,388 penerima daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

“Kecemerlangan yang ditunjukkan oleh penerima adalah manifestasi warga kementerian selaras dengan tanggungjawab yang telah digariskan dalam Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar khusus untuk tahun ini.

“Pemilihan penerima berpandukan kepada markah Laporan Penilaian Prestasi Tahunan (LNPT) 2018. Saya sendiri juga berpuas hati dengan segala perkhidmatan yang diberikan dan mereka sememangnya la­yak untuk menerima anugerah ini,” katanya.

Dalam pada itu, Rina turut berharap warga kementerian terbabit dapat meningkatkan ilmu kemahiran seiring de­ngan keadaan semasa yang lebih mengutamakan bidang teknologi dalam setiap urusan.

“Ini bagi memastikan kita dapat menjalankan kerja dengan lebih efisien dan efektif dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.