Balu Allahyarham, Siti Rapeah Selamat, 60, berkata, suaminya itu tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri ketika mengambil wuduk untuk menunaikan solat maghrib.

“Sebelum ini arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku dan tahap ke­sihatannya berada pada tahap yang baik walaupun memiliki sejarah penyakit darah tinggi.

“Pemergian arwah secara mendadak amat mendukacitakan hati kami sekeluarga kerana arwah sememangnya seorang suami dan bapa yang penyayang serta bertanggungjawab terhadap keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Johan Jaaffar berkata, hubungan antara beliau dan Allahyarham bukan sekadar ketua dan pekerja tetapi antara dua orang sahabat lama.

“Saya telah lama mengenali arwah sebelum menyertai Utusan Melayu lagi dan apabila saya menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarang, saya telah melantik arwah sebagai wartawan kanan di Meja Sastera Utusan Malaysia kerana bakatnya yang sangat terserlah dalam bidang sastera.

“Walau bagaimanapun, hu­bungan kami se­olah-olah terputus sejak setahun yang lalu dan kali terakhir saya menemui arwah adalah ketika saya menghadiri majlis perkahwinan anaknya,” katanya.

Jenazah Allahyarham disembah­yangkan pada pukul 10 pagi ini di Surau Al-Asmah, Taman Sri Jelok dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang.

Allahyarham yang pernah menjadi wakil Utusan di Jakarta, meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak, Edrawan Aidil Wahid, 41, Ezrul Azzim Wahid, 37, dan Amalina Wahid, 31.