Isteri arwah, Wan Faridah Wan Sulong, 65, ketika ditemui ber­kata, selepas solat, suaminya ke dapur untuk menjamah makanan tetapi tiba-tiba merungut sakit dada sebelum meninggal dunia di sisinya.

“Syukur kepada Al­lah, arwah ‘pergi’ dengan mudah dan tenang, lima minit se­lepas merungut sakit dada dia hembus nafas terakhir. Subuh tadi, arwah mahu ke masjid untuk me­nu­naikan solat Subuh seperti biasa tetapi saya tidak benarkan kerana hujan lebat.

“Beberapa minit selepas menjamah makanan dia memanggil nama saya dan ketika itulah dia kelihatan seperti kepenatan sebelum menghembuskan nafas terakhir. Kejadian yang berlaku itu sangat pantas sehinggakan saya tidak sempat berbuat apa-apa,” katanya.

Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke Masjid Al-Mujahideen Damansara Utama untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara untuk dike­bu­mikan selepas solat Asar.

Yang turut hadir, bekas Ketua Pengarang Kum­pulan Utusan, Datuk Khalid Mohd; Pengerusi Bernama, Datuk Abd. Rah­man Sulaiman; Pe­ngarang Berita Kanan 1, Ro­zaman Ismail; bekas Pengarang Rencana Utusan Melayu, Subky Abdul Latif, serta rakan dan ahli keluarga terdekat Allahyarham.

Menurut Wan Faridah, arwah tidak menunjukkan sebarang per­ubahan malah sering bergurau seperti biasa dengan menyatakan mahu menyertai Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat An­tarabangsa suatu masa nanti ketika menonton program tersebut semalam.

Allahyarham memulakan kerja­yanya di Utusan Melayu pada tahun 1967 dan menamatkan kerja­yanya di syarikat akhbar itu selepas bersara.

Beliau kemudiannya bertugas sebagai Setiausaha Akhbar kepada bekas Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor selama lebih setahun sebelum dilantik menjadi Pengarang akhbar Harakah terbitan parti itu untuk tempoh kira-kira lima tahun.

Sementara itu, Subky memberi­tahu, arwah merupakan seorang pekerja yang komited terhadap kerjayanya sehingga diberi kepercayaan untuk menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarang Utusan.

“Saya kenal arwah sudah lama dan dia merupakan antara orang kepercayaan Utusan Melayu ketika itu sehingga dilantik ke jawatan tertinggi kerana ketegasan dalam menjalankan tugas,” ujarnya.