Ketua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa, Komander (B) Datuk Dr. Mustapha Ahmad Marican berharap persara ATM yang masih belum mendaftar perlu tampil menyokong usaha persatuan itu kerana banyak manfaat yang boleh diperolehi.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan dan Pendidikan Asia Tenggara berkata, dengan menyertai persatuan tersebut juga, para persara boleh terus mengeratkan silaturahim sesama bekas anggota ATM.

“Saya difahamkan dari ibu pejabat veteran, bekas ATM di Sabah ramai, tetapi yang mendaftar terlalu kecil. Saya menyeru rakan-rakan pesara mendaftar. Contohnya ramai juga bekas tentera dari Semenanjung yang tinggal di Sabah dan Sarawak, mereka amat perlu masuk persatuan untuk masa depan isteri dan anak-anak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis mesra bersama ahli-ahli jawatankuasa PVATM Sabah di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Turut hadir ialah Yang Dipertua PVATM Sabah, Marshid Mohd. Salleh

Sementara itu menurut Marshid, ketika ini terdapat 19 cawangan PVATM di Sabah dengan keahlian seramai 13,000 pesara tentera.

“Kita berharap pada masa depan persatuan boleh menjadi persatuan yang kuat dan aktif dalam melaksanakan fungsinya bagi mendokong dasar kerajaan manfaat ahli keseluruhannya,” katanya. - UTUSAN ONLINE