Tindakan tersebut merupakan antara perkara di dalam perintah persetujuan bersama yang didakwa bekas suami­nya, Gavin Edward O’Luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar, 41, telah dilanggar oleh Serina, 35.

Sehubungan itu, Gavin selaku pihak pemohon melalui peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar telah memohon kebenaran secara ex-parte (sebe­lah pihak) agar satu notis tunjuk sebab dikeluarkan terhadap wanita terbabit berdasarkan peruntukkan Seksyen 151 (1)(a)(aa) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 atas perbuatan bekas isterinya.

Ketika sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini, Zainul Rijal memberitahu, terdapat banyak pelanggaran perintah yang telah dilakukan oleh Serina yang dinamakan sebagai pihak responden yang mewajarkan notis tersebut dikeluarkan dan mengapa notis komital tidak boleh dikenakan terhadapnya kerana didakwa melanggar perintah persetujuan tersebut.

“Perintah persetujuan bersama telah direkodkan dengan kehadiran kedua-dua belah pihak ditemani peguam syarie masing-
masing pada 27 Julai 2017. Pihak responden bagaimanapun telah melanggar beberapa perintah yang direkodkan khususnya mengenai perintah bahawa anak-anak mereka tidak dibenarkan untuk ti­dur di rumah bapa responden tanpa kehadiran Serina atau pembantu rumah dan hendaklah tidur di bilik yang berasingan de­ngan bapa responden.

“Selain itu, pihak res­ponden juga te­lah melanggar perintah yang menyatakan ba­hawa Serina tidak di­benarkan untuk memburukkan, memperlekeh­kan dan mengungkit secara langsung atau tidak berkenaan keluarga mereka (Gavin, Serina dan anak-anak) di media sosial,” ujar peguam ber­kenaan.

Pasangan itu berkahwin pada 1 Januari 2010 dan sah bercerai pada 1 Ogos tahun lalu dengan hak penjagaan anak mereka Tristan Tareef O’Luanaigh, 6, dan Isabella Safiyya O’Luanaigh, 5, diberikan kepada Gavin.

Zainul Rijal memaklumkan pada 3 Disember tahun lalu, Chef Wan atau nama sebenarnya Datuk Redzuawan Ismail te­lah memuat naik satu video di akaun Instagram miliknya yang jelas menunjukkan beliau ber­ada bersama anak-anak Gavin di rumahnya.

Serina pula menurut peguam itu, pada 19 Mac lalu telah memuat naik status di Instagram miliknya mendakwa dia telah dihalang oleh bekas suami untuk bertemu dengan anak-anaknya setiap hari.

“Ini merupakan satu usaha untuk memburukkan pihak pemohon kerana dalam perintah persetujuan bersama, pihak re­s­ponden hanya dibenarkan untuk bersama anak-anaknya pada hujung minggu setiap bulan. Res­ponden pada tarikh sama telah memuat naik satu status tidak benar dengan mendakwa pihak pemohon telah ditangkap basah sewaktu anak-anak berada dalam jagaannya dan satu lagi status mendakwa pihak pemohon telah mengabaikan anak sehingga Isabella lebam mata ketika bermain bola.

“Responden turut memuat naik status di laman sosial sama yang telah memburuk dan memperlekehkan pihak pemohon pada 20 dan 21 Mac lalu. Serina juga telah mengeluarkan kenya­taan mengenai keluarga mereka dalam rancangan hiburan Melodi pada 24 Februari lalu,” ujar Zainul Rijal.

Hakim Syarie, Salehan Yatim selepas mendengar hujah peguam syarie itu menetapkan 21 Mei ini untuk membuat keputusan permohonan tersebut.