Bayi yang masih merah itu diserahkan oleh seorang wanita yang tidak mampu membesarkan anaknya, lantaran ketiadaan suami akibat dipenjarakan kerana kes dadah.

Sejak itu sehinggalah mencapai usia 26 tahun ketika ini, hanya sekali sahaja Mohd. Najwa berpeluang bertemu dengan ibunya, Fuziah Shamsuddin manakala bapanya, Ahmad Nordin Chik langsung tidak pernah ditatap wajahnya sehingga kini.

Namun, Mohd. Najwa cukup tabah dan tidak pernah menjadikan ketiadaan kasih sayang daripada kedua-dua orang tuanya sebagai alasan untuk lalai dalam kehidupan.

Malah membesar dengan rakan-rakan senasib membakar semangatnya untuk berjaya dalam pelajaran dan terbukti apabila keputusan peperiksaannya sentiasa cemerlang setiap kali peperiksaan sehinggalah dipilih melanjutkan pelajaran ke Maktab A-Furqan di Syria pada 2004.

Sejak setahun lalu, bekas penghuni rumah anak yatim yang sudah mencapai usia dewasa itu menetap dan bekerja dengan sebuah syarikat pembinaan di New South Wales, Australia.

Menjalani kehidupan ibarat anak yatim piatu sejak dilahirkan, Mohd. Najwa sebenarnya menyimpan hasrat untuk menjejaki dan bertemu semula dengan kedua orang tua dan adik-beradik yang lain.

"Sejak lahir, saya hanya pernah bertemu sekali dengan ibu dan langsung tidak mengenali ayah, malah saya tidak pasti jika ada mempunyai adik-beradik lain.

"Meskipun sudah terputus hubungan dan tidak tahu sama ada kedua ibu bapa saya masih hidup, namun jauh di sudut hati saya amat merindui mereka dan berharap dapat bersatu dengan keluarga pada suatu hari nanti," katanya ketika menghubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mohd. Najwa, dia sudah lama mencari ibu dan bapanya tetapi gagal kerana tidak mempunyai maklumat mengenai mereka kecuali nama penuh kedua-dua orang tuanya itu.

Sehubungan itu, katanya, dia amat berharap sesiapa yang mengenali atau mempunyai maklumat tentang ibu, bapa atau saudara-maranya agar menghubunginya bagi merealisasikan impiannya bersatu dengan keluarga.

Mohd. Najwa boleh dihubungi di alamat 126 warwick Rd Merrylands, new south wales ,australia atau talian +61466900019 atau akaun Facebook Mohd Najwa Ismail.