Fakhri Mohd. Noh (kiri) dan Chan Chun Jin kini bertugas sebagai Jurutera Pesawat Berlesen Kuwait Airways.

Salah seorang mereka, Fakhri Mohd. Noh, 40, berkata dia sebaliknya nekad berusaha termasuk melakukan pelbagai persediaan dengan mengemas kini resume dan mendaftar pekerjaan di Pusat Pembangunan Korporat (CDC).

CDC yang ditubuhkan oleh Khazanah Nasional Berhad pada 1 Jun tahun lalu, telah menawarkan perkhidmatan penempatan pekerjaan dan latihan percuma kepada kakitangan MAS yang tidak me­nerima tawaran daripada syarikat baharu (MAS NewCo).

“Ia merupakan satu fasa peralihan daripada individu yang telah mempunyai pekerjaan tetap kepada pencari pekerjaan semasa mula-mula diberhentikan. Kita tidak boleh tunggu tanpa me­lakukan sesuatu, sebaliknya perlu berusaha.

“Rebut peluang yang ada sementara menanti peluang lebih baik dan jangan amalkan sikap terlalu memilih pekerjaan yang akhirnya merugikan diri sendiri. Hadapi cabaran dengan tenang dan tidak mudah berputus asa,” katanya ketika dihubungi melalui aplikasi Skype.

Fakhri yang berkhidmat lebih lapan tahun bersama MAS, kini bertugas sebagai Jurutera Pesawat Berlesen bersama syarikat penerbangan Kuwait Airways yang berpangkalan di negara berkenaan.

Dalam pada itu, Fakhri berkata, dia juga terpaksa berdepan beberapa cabaran lain pada permulaan bekerja di syarikat tersebut termasuk budaya kerja yang berbeza dan cuaca serta iklim di negara berkenaan.

“Memang sukar ketika mula-mula di sini. Keadaan iklim sukar diramal kerana ia kadangkala terlampau sejuk dan terlampau panas. Di samping itu, keluarga yang kini berada jauh membuatkan saya begitu merindui mereka,” ujarnya.

Sementara itu, rakan sekerjanya, Chan Chun Jin, 34, yang turut berkhidmat sebagai Jurutera Pesawat Berlesen berkata, setiap individu perlu berusaha dan tidak mudah berputus asa dengan setiap cabaran yang datang.

“Keluar dari zon selesa anda. Peluang yang diberikan kepada saya untuk bekerja di luar negara membuatkan saya kini lebih terbuka untuk meneroka perkara baharu di samping dapat meningkatkan prestasi agar memenuhi impian di masa hadapan.

“Tidak dinafikan, memang terdapat perbezaan antara syarikat ini dan MAS terutama cara kerja kerana mereka masih lagi baharu dan masih menjalankan pelbagai peningkatan dalam pelbagai aspek termasuk sumber manusia dan sistem. Tetapi saya gembira dan tidak berdepan dengan sebarang masalah besar setakat ini,” ujarnya.