Mohd. Sany, 89, menghembus nafasnya yang terakhir pada pukul 2.20 petang ini ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Allahyarham meninggalkan se­orang isteri, Puan Sri Normah Mahmud dan lima orang anak.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Khalid Al Walid, Jalan Padang Tembak, di sini sebelum dikebumikan di Pusara Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Port Dickson.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berkenan menyertai sembahyang jenazah tersebut dan menziarahi keluarga Allahyarham.

Dalam pada itu, Panglima Ang­katan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin ketika ditemui berkata, jasa dan pe­ngorbanan Allahyarham kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah amat besar dan tidak ternilai harganya.

Jelas beliau, kecemerlangan ATM ketika ini adalah kesinambungan daripada legasi kepemimpinan Allahyarham yang ber­teraskan patriotisme tulen dalam mempertahankan negara daripada diganggu-gugat oleh sebarang anasir asing terutama pengganas komunis.

“Hari ini kita ternyata kehilang­an seorang tokoh yang membentuk ATM sehingga ke tahap ini. Semangat Allahyarham dalam mempertahankan kedaulatan negara akan diingati warga ATM selama-lamanya,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Mohd. Azumi Mohamed berkata, Allahyarham memainkan peranan yang pen­ting dalam usaha me­merangi pengganas komunis pada tahun 1970-an dan 1980-an.

“Allahyarham adalah seorang strategis yang hebat dan berjasa kepada negara. Kita amat berterima kasih kerana atas pengor­banan Allahyarham dan pasukannya sebelum ini, kita dapat mengecapi keamanan kini,” katanya.

Allahyarham mula berkhidmat sebagai anggota tentera pada 19 September 1949 dalam RAMD seterusnya menjadi Panglima Angkatan Tentera Keenam pada 1 Di­sember 1977 sebelum bersara pada 19 Januari 1981.