Arifin Zakaria
Arifin Zakaria

"Kalau mahu buat kenyataan, buat kajian betul-betul, bukan hanya 'general statement' begitu. 

"Ini tidak adil kepada badan kehakiman jika (dibuat) tanpa meletakkan statistik atau kajian," kata beliau sambil menyatakan rasa terkejutnya. 

Arifin berkata, seorang bekas hakim perlu lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan kerana kedudukan mereka dipandang tinggi masyarakat, menjadikan percakapan itu diambil serius.

Beliau menimbulkan perkara itu ketika bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pelaksanaan Projek e-Kehakiman Fasa 2 di Kompleks Mahkamah Kuantan di sini, hari ini. 

Turut hadir, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Seri Mariana Yahya dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar.

Arifin diminta mengulas kenyataan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah di media semalam, bahawa hakim mahkamah dilihat bersikap berlembut dalam mengenakan hukuman terutamanya kepada pesalah jenayah rasuah.

Mohd. Noor dilaporkan berkata, mereka yang terlibat rasuah perlu dikenakan hukuman penjara dan bukannya didenda yang tidak seberapa dibandingkan dengan jumlah besar wang diterima dalam kesalahan itu.

Arifin berkata, beliau 'terkejut' apabila seorang bekas hakim boleh mengeluarkan kenyataan umum sedemikian tanpa merujuk kepada statistik atau kes tertentu sebagai sokongan.

"Sebagai hakim yang telah bersara atau mana-mana hakim sekali pun, kalau kita hendak buat kenyataan, kena 'back up' (sokong) dengan statistik atau kes tertentu. 

"(Jadi) Ini kita tidak boleh pertimbang sangatlah... macam cakap kosong.

"Hakim apabila bercakap, tidak boleh cakap kosong dan saya harap bekas hakim pun kena amalkan benda yang sama," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai e-Kehakiman Fasa 2, Arifin berkata sistem dalam talian itu telah dibangunkan sejak Disember lalu dan akan diperluaskan kepada semua kes sivil dan kes jenayah di semua peringkat mahkamah.

Katanya, sistem e-Kehakiman Fasa 2 telah dilaksanakan secara perintis di Kompleks Mahkamah Melaka dan Kuantan dan maklum balas yang baik membolehkan ia diperluaskan ke 18 lokasi mahkamah lain dalam tempoh sehingga Julai ini.

Sistem itu, seterusnya akan diperluaskan ke 88 lokasi mahkamah lain di Semenanjung Malaysia pada tahun 2018, tambah beliau. 

Arifin berkata, sistem e-Kehakiman Fasa 1 yang dimulakan pada 2010 melibatkan aplikasi utama e-Filing System dan Case Management System terbukti memudahkan proses pembaikan dan pemprosesan dokumen serta pengurusan kes mahkamah.

"Semua maklumat berkaitan kes mahkamah dapat diakses dengan cepat dan real time (masa sebenar).

"Warga mahkamah juga boleh berbangga kerana insiden seperti fail hilang atau kes tidak disenaraikan sudah menjadi sejarah," katanya.

Sehubungan itu, Arifin optimis bahawa kejayaan pelaksaan e-Kehakiman Fasa 2 akan memberi pengalaman yang berguna dalam usaha membangun dan melaksanakan projek berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi untuk bidang kehakiman pada masa akan datang. - BERNAMA