Bilahari Kausikan yang merupakan bekas diplomat Singapura itu berkata, timbulnya pelbagai isu dua hala dengan pertukaran kerajaan di Malaysia bukan satu kebetulan.

Antara isu yang berbangkit seperti didakwa Bilahari adalah berkaitan isu air, jambatan, Kawasan Maklumat Penerbangan (FIR) dan yang terbaharu, isu sempadan perairan.

“Gabungan kerajaan baharu ini secara hakikinya adalah tidak stabil dan disatukan oleh lelaki berusia 93 tahun. Ketidaktentuan politik di Malaysia sekali gus ‘mengheret’ Singapura dipergunakan sebagai ‘bogeyman’ untuk ‘mendukung’ masalah bersama.

“Jadi, ‘doakan’ doktor yang baik ini kesihatan yang baik dan umur panjang. Keadaan mungkin akan jadi lebih teruk tanpa beliau,” kata Bilahari dalam kenyataan yang dipetik dari Facebooknya - Bilahari Kausikan.

Kenyataan itu ditulis sebagai kapsyen kepada perkongsian ‘posting’ berita berkaitan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menggesa supaya diukur sempadan perairan di Johor.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan, kerajaan akan mengukur sempadan perairan Malaysia dan Singapura bagi melihat sama ada benar kapal negara ini menceroboh perairan republik itu.

Tindakan itu adalah berikutan Singapura membantah rancangan Malaysia memperluaskan had pelabuhan di Johor Bharu dan menyifatkannya sebagai menceroboh perairan wilayah berkenaan.

Kementerian Pengangkutan Singapura (MOT) berkata, pihaknya meminta Malaysia menarik semula cadangan untuk meluaskan pelabuhan sebagai mencerminkan kedaulatan Singapura berhubung perairan, sementara Malaysia mempertahankan diri daripada mengambil tindakan lanjut sebelah pihak. – UTUSAN ONLINE