Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Sr. Ishak Ismail berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang rungutan atau aduan berkaitan masalah bekalan mahupun hasil tani.

“Walaupun kemarau, tapi dari sudut bekalan, berjalan seperti biasa.

“Jika terdapat bekalan yang terjejas sekalipun mungkin dalam satu atau dua barangan sahaja seperti cili, namun ianya dianggap fenomena biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Lawatan Kerja di Institut Latihan FAMA Kota Bharu (ILFKB) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah FAMA negeri, Mohd. Ariffin Awang dan Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Modal Insan FAMA, Mohd. Nawawi Harun.

Dalam pada itu, Ishak berkata, FAMA akan memberi tumpuan kepada Kelantan sebagai negeri ini pengeluar benteng makanan negara.

“Kita akan pastikan usahawan dibantu supaya hasil dapat diedarkan kerana negeri ini adalah antara negeri yang menghasilkan jualan tertinggi serta pengeluar sayur dan buah-buahan utama seperti rock melon duku, dokong dan sebagainya.

“Selain itu, Kelantan adalah antara negeri yang memperoleh hasil jualan tertinggi dicatatkan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong iaitu sebanyak RM700 juta setahun,” katanya. - UTUSAN ONLINE