Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd. Nawi berkata, orang ramai tidak perlu bimbang terputus bekalan kerana sumber hasil laut akan diperoleh dari pantai Barat di samping menerusi simpanan di bilik sejuk beku seluruh negara yang dianggarkan kini mencecah 40,000 tan metrik.

"Selain itu, kerajaan turut membenarkan import ikan-ikan daripada luar pada musim ini.

"Dari segi harga pula akan berlaku sedikit peningkatan tetapi tidak begitu ketara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Latihan Antarabangsa Penilaian Bekalan dan Dinamik Populasi Negara Anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Pusat Pembangunan Perikanan Asia Tenggara (Seafdec)/Jabatan Pengurusan dan Pembangunan Sumber-sumber Perikanan Marin (MFRDMD), Taman Perikanan Chendering, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Perikanan negeri, Zawawi Ali; Pengarah Seafdec/MFRDMD, Raja Bidin Raja Hassan dan Pengarah Akademi Perikanan Malaysia, Ruzaidi Mamat.

Kursus latihan selama seminggu itu turut disertai lapan peserta dari Bangladesh di samping lima pegawai tempatan bagi bertukar-tukar kepakaran dan pengalaman mengenai penilaian bekalan hasil laut. - UTUSAN ONLINE