Setiausaha Bahagian Industri Padi dan Beras (IPB) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Shamsuddin Ismail berkata, negara mengeluarkan sebanyak 73 peratus beras tempatan dan selebihnya ditampung dengan import yang dilaksanakan melalui kontrak jangka panjang. 

“Walaubagaimanapun, bagi memastikan sekuriti makanan terjamin, kerajaan sedang meneliti secara holistik berkaitan dengan pengurusan industri padi dan beras negara. 

“Dalam menyediakan hala tuju yang terbaik, kerajaan akan mendapatkan pandangan daripada Majlis Penasihat Pertanian Negara. Selain itu, pandangan pihak luar yang terlibat dalam industri juga akan diambil kira,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) berkata, sistem beras negara sedia ada perlu dikekalkan bagi menjamin keselamatan makanan dan juga nasib petani.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernas, Ismail Mohamed Yusof berkata, negara tidak pernah kekurangan beras sejak Bernas mula ditubuhkan dan tiada sebab jelas mengapa monopoli syarikat itu harus dihapuskan.

Dalam pada itu, menurut Shamsuddin, penelitian mendalam perlu dilaksanakan kerana urusan pengimportan beras perlu diuruskan dengan baik bagi memastikan bekalan beras negara tidak terjejas. 

Sehubungan itu, katanya, perancangan dan hala tuju baru pengurusan industri padi beras negara akan memberi tumpuan khusus terhadap perkara berkaitan pengurusan stok penimbal, pengurusan subsidi dan insentif, urusan pengimportan beras yang sering dibangkitkan, pemutuan dan isu-isu yang melibatkan kebajikan pesawah.-UTUSAN ONLINE