Ia tidak lagi menyeluruh sebagaimana yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu sejak awal tahun  ini yang tanpa mengira status kehidupan mereka bagi menikmati subsidi itu asalkan bil yang dicatatkan di bawah kadar itu yang bersamaan dengan RM8.40 sen.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar semasa mengumumkan perkara itu mengakui perbezaan pendekatan dalam melaksanakan manifesto Pas yang dijanjikan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

"Ini adalah pelaksanaan manifesto kita dan terdapat perbezaan dengan dengan apa yang telah dibuat kerajaan negeri sebelum ini," ujarnya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Samsuri, pengguna yang layak itu hanya perlu membayar nilai meter padu air yang digunakan melebihi jumlah 20 meter padu yang diberikan secara percuma.

"Sebagai contoh, jika penggunaan 21 meter padu, jumlah yang perlu dibayar hanya satu meter padu sahaja, berbanding sebelum ini perlu membayar jumlah penuh (21 meter)," ujarnya.

Katanya, pemberian bekalan air secara percuma itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat selepas segala proses berkaitan termasuk dari segi pentadbiran dan sebagainya selesai.

Melalui pendekatan kerajaan BN sebelum ini, setiap pengguna perlu membayar bil sepenuhnya jika melepasi kadar yang ditetapkan dengan tujuan untuk membudayakan amalan menjimatkan penggunaan bekalan sumber air.

Bagaimanapun pendekatan baharu ini akan mengurangkan bilangan pengguna yang bakal menikmati subsidi itu yang sebelum ini dianggarkan  melibatkan 500,000 pengguna (kira-kira 110,000 buah premis kediaman).-UTUSAN ONLINE