Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd., Abdul Raof Ahmad dalam satu kenyataan di sini hari ini.


“Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), ahli kumpulan Air Selangor, ingin memaklumkan pelanggannya bahawa bekalan air di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan sekitarnya telah pulih.


“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pelanggan terlibat atas kerjasama dan kesabaran ketika gangguan bekalan sementara tersebut,” katanya.


Gangguan yang bermula semalam melibatkan kawasan seperti Bukit Bintang, Imbi, Pudu, Bukit Ceylon, Jalan Sungai Besi, pusat bandar Kuala Lumpur, Bukit Damansara, Bangsar, Titiwangsa Sentral, Bukit Persekutuan, Kampung Attap, Taman Duta, Bukit Tunku, Kampung Baru, Taman SA, Brickfields, Kampung Datuk Keramat, Taman Tasik Perdana, Chow Kit dan Pekeliling. - UTUSAN ONLINE