Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, keputusan tersebut diambil setelah seorang atlet boling padang wanita negeri itu yang berusia 19 tahun disahkan positif beguk semalam.

Katanya, atlet terbabit telah dikesan mengalami gejala sakit rahang kiri pada Isnin lalu dan telah diperiksa oleh Pakar Perubatan Sukan Negeri Sembilan pada hari sama sebelum diarah untuk dikuarantin setelah disyaki menghidap beguk.

"Pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kinta telah mengambil sampel mangsa dan menghantarnya untuk dianalisis kelmarin dan kes itu disahkan positif beguk oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh semalam.

"Seramai sembilan atlet dan dua pegawai yang terdedah dengan penyakit itu telah pun pulang ke Negeri Sembilan malam tadi bagi tujuan rawatan dan pemulihan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Howard berkata, bagi acara boling padang campuran, pertukaran seorang atlet dilakukan di mana seorang atlet wanita yang tidak mempunyai sebarang hubungan dengan pasukan boling padang negeri itu akan dibawa ke Ipoh.

Katanya, langkah tersebut bagi memastikan pasukan boling padang campuran Negeri Sembilan dapat meneruskan perjuangan dalam acara campuran.

"Atlet gantian ini sedang diusahakan di mana atlet ini berkemungkinan tidak terdedah dengan virus itu kerana tidak menjalani latihan bersama pasukan berkenaan," katanya.- UTUSAN ONLINE