Namun, hari ini satu lagi jenama beg tangan iaitu Bijan tiba-tiba menjadi sebutan apabila diumumkan sebagai satu daripada barangan yang turut dirampas dalam serbuan di premis berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika jenama itu disebut oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh hari ini, kebanyakan wartawan ketawa kerana merasa lucu mendengar nama jenama tersebut.

Malah ada yang meminta beliau mengeja jenama Bijan untuk pengesahan.

“Beg tangan Bijan itu sangat mewah dan perlu ditempah jika mahu memilikinya kerana beg tersebut adalah daripada jenis buatan sendiri (custom made) dan tiada dalam pasaran untuk jualan terbuka,” jelas beliau tanpa memberitahu harga beg tersebut.

Sementara itu, berdasarkan carian Google, Utusan Malaysia mendapati jenama Bijan diasaskan oleh seorang ahli perniagaan bernama Pakzad Bijan yang me­netap Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).

Info lain turut menamakan Bijan sebagai sebuah butik yang termahal di dunia dan pelanggan yang berkunjung ke kedai tersebut bukanlah calang-calang orang.

Antara pelanggan popular Bi­jan yang dikenal pasti ialah bekas-bekas Presiden AS se­perti George Bush, Barack Obama, Ronald Reagan serta Bill Clinton.

Raja Salman yang merupakan pemimpin Arab serta bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair dan Presiden Rusia, Vladimir Putin turut menjadi pelanggan butik tersebut yang menawarkan koleksi mewah rekaan Pakzad seperti minyak wangi serta kasut.

Selain beg tangan Bijan, Amar Singh turut menjelaskan, rantai leher emas bertatah berlian antara barangan kemas paling mahal yang dirampas pihaknya dalam serbuan berkenaan

“Rantai leher emas bertatah berlian itu pula adalah yang termahal dalam senarai rampasan iaitu bernilai RM6.4 juta,” jelas­nya ringkas.