Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Superintenden Sharifudin Mohd. Salleh berkata, antara laluan terlibat ialah Jalan Tun H.S. Lee, Jalan Sultan, Jalan Tun Tan Cheng Lok, Jalan Tun Perak, Jalan Leboh Ampang dan Jalan Ampang.

Ujarnya, kawasan lain yang turut terlibat dalam penutupan secara berperingkat itu iaitu Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Raja Laut, Jalan Ipoh, Jalan Tun Razak dan Jalan Kuching serta Bulatan Batu Caves.

"Sepanjang sambutan itu, Jalan Tun H.S.Lee akan ditutup kepada semua kenderaan Sabtu ini pada pukul 12.00 tengah hari bagi pihak kuil melakukan persiapan,

"Manakala, laluan lain akan ditutup secara berperingkat bermula 10 malam," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Sharifudin, perarakan pergi akan bergerak dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H.S. Lee dan melalui sepuluh jalan utama tersebut pada pukul 10 malam sabtu ini dan dijangka tiba di Kuil Sri Subramaniar kira-kira pukul 1 tengah hari.

"Manakala, pergerakan pulang ouka akan berlangsung kira-kira pukul 4 petang pada 22 Januari.

"Penutupan kesemua jalan tersebut akan berakhir pada Selasa depan dan jalan-jalan terlibat dibuka semula kepada pengguna jalan raya setelah kumpulan perarakan selesai melalui jalan tersebut," jelasnya.

Justeru itu, orang ramai yang ingin melalui kawasan tersebut dinasihatkan supaya menggunakan pengangkutan awam atau jalan altenatif lain bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas pada hari berkenaan. - UTUSAN ONLINE