Perkara itu dizahirkan oleh Presiden Gabungan Antarabangsa Bagi Membantu Baitulmuqaddis dan Palestin, Sheikh Dr. Hammam Saed ketika beliau membacakan khutbah Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan yang telah diumumkan sebagai masjid angkat Masjid Al-Aqsa pada Isnin lalu.

Di dalam khutbahnya, Sheikh Hammam menegaskan, isu Pa­lestin khususnya pembebasan Masjid Al-Aqsa merupakan jihad umat Islam secara keseluruhannya, bukan hanya kepada penduduk di negara itu sahaja.

“Apa yang dimaksudkan de­ngan jihad bukan hanya mengangkat senjata, tetapi jihad harta, jihad doa dan bantuan-bantuan yang diperlukan umat Islam di sana (Palestin).

“Kita anggap pemuda Malaysia seumpama pemuda di Palestin, anak-anak di Malaysia seperti anak-anak di Palestin dan Allah telah menjanjikan ganjaran cukup tinggi kepada mereka yang berjihad di jalan Allah. Kita rebutlah tawaran serta peluang ini,” katanya.

Pada masa sama, Sheikh Hammam memanjatkan kesyukuran dengan pengisytiharan Masjid Wilayah Persekutuan sebagai masjid angkat kepada Masjid Al-Aqsa.

“Pengisytiharan ini merupakan penanda aras keprihatinan umat Islam di Malaysia terhadap Masjid Al-Aqsa dan Palestin secara umumnya,” jelas beliau.

Terdahulu, ketika menyampaikan tazkirah, Sheikh Hammam mengingatkan umat Islam khususnya di Malaysia bahawa mereka merupakan antara ‘tentera’ yang akan mengusir Yahudi Israel daripada terus menguasai Masjid Al-Aqsa.

Justeru, beliau menyeru supaya bantuan terus disalurkan, terutamanya doa sebagai saham membebaskan masjid ketiga umat Islam itu.

“Semoga kita dipilih untuk terus-menerus memberi bantuan kepada Masjid Al-Aqsa,” ujar beliau.