Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, mekanisme yang dicadangkan adalah melalui kad tunai seperti yang digunakan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MyKasih khusus untuk mereka yang memerlukan.

“Saya telah meminta ketua setiausaha untuk mengkaji pelaksanaan teknologi pembayaran tanpa tunai yang digunakan oleh MyKasih. Saya sangat berharap ia akan menjadi satu proses inovasi untuk mempercepatkan pemberian bantuan dan mengurangkan kos.

“Jangan terkongkong dengan proses dan acuan sedia ada. Gunakan segala daya kreatif untuk mewujudkan proses-proses yang menye­nangkan pengguna perkhidmatan kita,” katanya berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di kementeriannya di sini hari ini.

Wan Azizah yang juga Menteri Pemba­ngunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut melancarkan Kafe Daya iaitu sebuah kafe yang dikendalikan oleh pekerja kurang upaya yang ditempatkan di kementerian tersebut.

Mengulas lanjut, katanya, proses inovasi memerlukan kreativiti dan pembabitan pemilik proses dalam mengenal pasti peluang-peluang pembaikan justeru itu, maklum balas daripada pelanggan harus dinilai dengan teliti.

Sementara itu, beliau menasihati warga kementerian agar tidak dipengaruhi oleh pertimbangan politik dalam meneruskan per­khidmatan untuk rakyat.

“Lakukan kebaikan kepada sesama manusia tanpa mengira bangsa, warna kulit dan agama mereka. Jangan mendiskriminasi sesiapa, perut anak Melayu yang lapar sama rasanya dengan anak Cina, anak India, anak orang asli dan anak Kadazan yang lapar.

“Memberi bantuan kepada mereka yang tidak layak juga adalah satu kezaliman selain menafikan bantuan ke­pada mereka yang layak juga adalah satu kezaliman. Tindakan sebegini bercanggah dengan konsep rahmat kepada seluruh alam,” katanya.

Wan Azizah turut menyentuh mengenai tindakan untuk memperbaiki seluruh komuniti iaitu dengan mengembalikan nilai-nilai dan norma yang dapat membina sokongan dan kawalan sosial tradisional.

“Oleh itu untuk memperbaiki dan mengatasi berbagai masalah sosial hari ini kita perlu memikirkan bagaimana membina semula sistem nilai dan semangat kejiranan yang wujud dalam kalangan masyarakat tradisional,” katanya.