Anthony Loke
Anthony Loke 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penyeragaman tersebut akan melibatkan 14 kategori atau kod kegunaan kenderaan barangan yang terdapat di Sabah.

“Penyeragaman tersebut dilakukan bertujuan untuk mengurangkan ketirisan hasil kepada kerajaan susulan proses pendaftaran kenderaan perdagangan di Sarawak.

“Berdasarkan data 2009 hingga 2014, dianggarkan ketirisan hasil daripada aktiviti pendaftaran kenderaan bermotor di negeri itu berjumlah RM64 juta, justeru penyeragaman tersebut akan memudahkan kawalan dan pemantauan ke atas kutipan hasil kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Anthony berkata, pada masa ini perkiraan fi LKM di Sabah menggunakan kriteria Berat Dengan Muatan (BDM) manakala di Sarawak dengan BTM yang jauh lebih murah.

Oleh itu katanya, semua transaksi permohonan baharu atau pembaharuan LKM kenderaan perdagangan di Sabah akan menikmati kadar serupa di Sarawak bermula tarikh tersebut.

“Sebagai contoh perbezaan kadar fi LKM lori penggerak utama kontena dengan berat yang sama, Sabah yang menggunakan BDM membayar RM2,478 manakala Sarawak (BTM) hanya dikenakan RM718.

“Asas perkiraan fi untuk kedua-dua negeri belum pernah diseragam atau diselaraskan sejak proses penyatuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Semenanjung dengan JPJ Sabah dan Sarawak pada 1984,” jelasnya.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan, langkah tersebut bakal melibatkan pengurangan hasil RM9 juta hingga RM15 juta setahun kepada kerajaan.

Namun secara keseluruhan katanya, tindakan itu tidak membawa kesan terlalu drastik kepada prestasi kutipan hasil kerajaan kerana fi LKM bagi kedua-dua negeri berkenaan hanya mewakili kurang tiga peratus daripada keseluruhan kutipan seluruh negara. - UTUSAN ONLINE