Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, keputusan itu berikutan aduan oleh golongan pekerja yang menyatakan bahawa mereka tidak mampu membayar bahagian levi berkenaan seperti dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan semalam.

“Dengan kembalinya ke struktur asal, maka levi seba­nyak RM10,000 setahun dibayar sepenuhnya oleh majikan. Ini adalah untuk mereka yang memohon lanjutan bagi bekerja selepas tempoh 10 tahun. Bagi tempoh sebelum 10 tahun yang melibatkan bayaran RM1,850 setahun, tiada masalah.

“Ini berdasarkan pandangan daripada pihak kesatuan sekerja yang mengatakan mereka tidak mampu membayarnya. Jadi kita menerima pandangan ini dan semua levi sebanyak RM10,000 setahun kita minta majikan bayar kerana pekerja tidak dapat bayar,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Guan Eng membe­ritahu, pekerja asing akan membayar 80 peratus daripa­da levi tahunan sebanyak RM10,000, dengan bakinya 20 peratus dibayar oleh majikan bagi memastikan kerajaan Persekutuan tidak hilang keuntungan kewangan.

Dalam pada itu Guan Eng berkata, majikan yang mempunyai pekerja asing yang sudah berkhidmat lebih 10 tahun dan mahu menyambung perkhidmatan mereka, bayaran levi tahunan berjumlah RM10,000 itu boleh dibuat bermula 1 Oktober ini.

“Kalau mereka tidak mahu membayar RM10,000, pekerja berkenaan boleh pulang ke negara asal terlebih dahulu dan datang semula sebagai pekerja baharu, jadi levi perlu dibayar hanya RM1,850,” katanya.

Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran, Penolong Gabenor Bank Negara, Abu Hassan Alshari Yahaya dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam.

Sementara itu, Guan Eng berkata, hasil daripada penjualan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dimasukkan ke kumpulan wang yang disatukan sebelum disalurkan ke mana-mana akaun amanah.

Ditanya tentang aset yang disasarkan, beliau berkata, walaupun kerajaan tahu apakah aset itu tetapi adalah wajar bagi pihak Peguam Negara yang menjawab isu berkenaan kerana kes melibatkan 1MDB dikendalikan pihak berkenaan.