LIM GUAN ENG
LIM GUAN ENG

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, bayaran khas itu melibatkan 66,258 individu terdiri daripada 12,500 imam, 8,650 bilal, 3,950 guru takmir, 8,394 tok siak, norja dan merbot serta 32,764 guru KAFA.

“Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah me­ngarahkan bahawa anggota perkhidmatan masjid dapat menikmati bayaran khas Aidilfitri seperti yang diterima oleh warga perkhidmatan awam Kerajaan Persekutuan.

“Kos keseluruhan bayaran ini adalah sebanyak RM26.5 juta yang telah disalurkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Pemberian akan dima­suk­kan terus ke dalam akaun individu berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, pembayaran itu tidak termasuk dalam pembayaran Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR) yang dibayar secara berasingan.

Katanya, Kerajaan Persekutuan menyalurkan RM1.6 bilion kepada kira-kira 4.1 juta penerima BSHR bermula 6 Jun lalu.

Sementara itu, Guan Eng menafikan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa tajaan haji 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihentikan serta-merta untuk elak pembaziran.

Perkara itu dijelaskan Guan Eng menerusi akaun Twitter milik beliau hari ini.

Pada masa sama, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, penularan laporan yang konon dibuat portal Malaysiakini itu adalah palsu.