Pengerusi LKIM, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, penetapan itu dilaksanakan bagi membolehkan pihaknya melakukan pemantauan penuh selain memastikan nelayan mematuhi syarat ditetapkan kerajaan.

“Melalui pelaksanaan ini, pembayaran insentif kepada nelayan di seluruh negara tidak lagi dilakukan di jeti milik swasta. Kami nak pastikan nelayan memaklumkan hasil tangkapan mereka bagi memudahkan LKIM membuat pemantauan.

“Kami juga ingin memastikan tidak wujud ketirisan dalam penjualan ikan kepada pihak orang tengah. Kami ingin membasmi manipulasi orang tengah yang tidak bertanggungjawab yang boleh menyebabkan berlakunya masalah bekalan ikan seterusnya memberi kesan kepada harga,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM624 juta setiap tahun bagi pembayaran insentif pada kadar 10 sen bagi setiap sekilogram hasil tangkapan.

Dalam pada itu, Irmohizam yang juga Anggota Parlimen Kuala Selangor berkata, syarat baharu pembayaran insentif pendaratan ikan itu akan turut melibatkan jeti milik persatuan nelayan bermula April.

Menurutnya, pembayaran insentif menerusi kerjasama dengan LKIM itu merangkumi nelayan sampan di seluruh negara.

“Secara tidak langsung kita dapat membantu persatuan nelayan menjana ekonomi. Bagaimanapun, jeti milik persatuan nelayan ini perlu berdaftar dengan LKIM untuk dijadikan tempat pembayaran insentif berkenaan,” katanya. - BERNAMA