Menurut agensi berita Xinhua, kira-kira 30 pekerja kilang di Nanchang, wilayah Jiangxi bersetuju menerima 290,000 batu-bata sebagai pertukaran kepada tunggakan gaji mereka.

Sementara itu, agensi berita Jiangxi Daily melaporkan bahawa kesemua pekerja berkenaan merupakan migran dari kawasan pergunungan wilayah Yunnan di barat daya negara itu dan mereka tidak mempunyai pilihan selain hidup dengan lilin dan kayu api sebagai sumber bahan api untuk memasak.

Selepas jabatan buruh tempatan campur tangan dengan bantuan mahkamah, para pekerja ak­hirnya bersetuju menerima batu-bata dari kilang tersebut sebagai tunggakan gaji.

Selain itu, Xinhua melaporkan majikan terbabit yang tidak didedahkan identitinya kepada media tempatan, masih berusaha mencari cara untuk membayar balik baki tunggakan berjumlah 10,000 yuan (RM6,134).

Isu ini telah mencetuskan perdebatan di media sosial tempatan, dengan ramai pengguna mikro blog Sina Weibo melahirkan kebimbangan.

“Mengapa pekerja migran se­ring berdepan masalah tunggakan gaji,” kata seorang pengguna blog berkenaan.

Kesatuan Sekerja Persekutuan Seluruh China pula menyatakan mereka telah membantu lebih lima juta pekerja migran di China menerima tunggakan gaji berjumlah AS$4.5 bilion (RM17.6 bilion) dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.