Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, sehubungan itu, para peminjam perlu meneruskan pembayaran mengikut kaedah dan jumlah yang mereka bayar sebelum ini seperti biasa.

Malah katanya, peminjam yang bergaji kurang daripada RM4,000 sebulan juga perlu melunaskan pinjaman itu tanpa ada sebarang pengecualian.

“Berapa yang janji untuk pembayaran dulu, itu kena bayar...Proses pembayaran ikut polisi dan peraturan asal, sehingga kita dapat tukar dasar tersebut,” katanya

ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Persidangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Arau di Pusat Tranformasi Nelayan, Kuala Sungai Baru di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai rungutan dalam kalangan peminjam apabila menerima notis pemberitahuan pembayaran balik pinjaman PTPTN seperti biasa meskipun ada dalam kalangan mereka bergaji bulanan kurang RM4,000.

Untuk rekod, Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) telah berjanji untuk memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam PTPTN dan menangguhkan pembayaran balik kepada semua peminjam yang bergaji kurang daripada RM4,000 sebulan.

Mengulas lanjut, Wan Saiful memberitahu,

kertas cadangan mengenai dasar PTPTN yang baharu itu telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan dan Kewangan.

“Pada masa ini, kita cuma menanti ulasan daripada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sebelum dibawa ke Kabinet dan diluluskan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Wan Saiful yang juga Penasihat Khas Menteri Pendidikan ketika ditanya mengenai lawatannya bersama delegasi ke London, United Kingdom (UK) baru-baru ini enggan mengulas mengenainya.

“Saya rasa elok tanya Menteri dan difahamkan Menteri telah pun bagi jawapan. Saya tidak ada komen mengenai itu, biar Menteri beri jawapan,” katanya.- UTUSAN ONLINE