Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, kaedah PGB itu akan dilaksana mengikut peratus potongan daripada gaji pe­minjam berbanding kaedah lama yang bergantung kepada jumlah pinjaman dan tempoh bayaran balik.

“PGB adalah bayaran balik mengikut peratus potongan daripada gaji peminjam apabila gaji mencecah RM2,000 sebulan dan peratus potongan adalah antara dua peratus hingga 15 peratus.

“Bagi merealisasikan kaedah tersebut, PTPTN akan bekerjasama dengan semua agensi berkaitan antaranya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk mendapatkan maklumat pendapatan dan butiran majikan peminjam.

“Berdasarkan maklumat di­peroleh, PTPTN akan mengeluarkan arahan potongan gaji mengikut peratus potongan kepada majikan. Menjadi tanggungjawab majikan untuk membuat potongan gaji pekerja bagi bayaran balik pinjaman kakitangan mereka kepada PTPTN,” katanya dalam sidang akhbar di Menara PTPTN di sini hari ini.

Jelas Wan Saiful lagi, pelaksanaan keadah PGB itu dilihat lebih membantu peminjam yang berpendapatan rendah dan mereka yang baharu memulakan pekerjaan.

“Mereka yang bergaji di bawah RM2,000 sebulan tidak perlu membayar sehingga gaji mereka melepasi RM2,000. Bagi mereka yang berpendapatan antara RM2,000 hingga RM4,000, jumlah bayaran me­reka rendah sahaja.

“Contohnya, jika dibandingkan jumlah bayaran bulanan paling rendah iaitu dua peratus daripada RM2,000, hanyalah RM40 sahaja. Ini hampir separuh daripada bayaran paling rendah dengan kaedah lama iaitu RM91.67,” katanya.

Menurut Wan Saiful, bagi peminjam yang tidak termasuk di dalam penggajian dengan mana-mana majikan pula dikehendaki membuat pengesahan maklumat pendapatan mereka melalui portal PTPTN bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan ansuran bayaran balik berdasarkan kepada peratusan pendapatan juga.

Beliau memberitahu, bagi golongan yang tidak makan gaji seperti suri rumah, mereka boleh membuat pembayaran menerusi debit terus atau secara dalam talian dan secara prinsipnya pinjaman suri rumah itu mestilah dibayar oleh pasangannya yang mempunyai pendapatan.