Nazri Siron

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Nadzri Siron berkata, walaupun sebelum ini tiada pesalah trafik melibatkan AES dibawa ke mahkamah, namun kini tindakan tersebut akan diambil ke atas mereka yang ingkar membayar kompaun ber­kenaan.

Menurutnya, kompaun AES bernilai RM150 itu me­rangkumi dua kesalahan iaitu membawa kenderaan melebihi had laju dan me­langgar lampu isyarat merah.

“Mereka yang mela­kukan kesalahan ini akan dikenakan kompaun RM150 dan jika gagal untuk membayar dalam tempoh ter­tentu, tindakan mahkamah akan diambil dan berdepan hukuman denda tidak melebihi RM2,000. Jadi, lebih baik bayar kompaun itu.

“Kita akan menggerakkan penguatkuasaan kepada mereka yang tidak bayar. Kita telah mendapat arahan daripada Peguam Negara untuk membawa mereka ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan JPJ dan upacara menandatangani perjanjian persefahaman antara JPJ dan Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nadzri berharap masyarakat tidak mempercayai maklumat-maklumat yang tular di media sosial mengatakan kononnya kamera AES dipasang secara tersembunyi di lokasi-lokasi seperti lampu isyarat dan tol.

Katanya, kamera ber­kenaan tidak akan diletakkan di tempat seumpama itu sebaliknya ditempatkan di kawasan yang jelas serta di­sedari pemandu memandangkan tujuan pemasangannya adalah untuk mendidik masyarakat.

“Konsep kita sekarang adalah secara terbuka, sebelum ini memang operasi JPJ dijalankan di bawah pokok atau di belakang lencongan tetapi kini kita mahu masyarakat mengetahui perkara ini dan mendapat didikan,” katanya.

Ditanya tentang kewujudan kamera AES yang mengambil gambar dari arah belakang kenderaan, beliau memberitahu, kaedah itu digunakan mengikut kesesuaian lokasi bagi melihat model dan nombor pendaftaran kenderaan secara jelas.

“Kamera sedemikian ju­ga bukan untuk mengambil gambar kenderaan yang berada di laluan bertenta­ngan,” katanya.

Buat masa ini terdapat sebanyak 21 kamera AES dipasang di seluruh negara.