Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali berkata, pendirian Dr. Mahathir yang menolak perlakuan LGBT daripada diterima di negara ini adalah langkah tepat sesuai dengan ajaran Islam, undang-undang negara, norma masyarakat setempat dan nilai kemanusiaan sejagat.

“Seperti gesaan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu supaya semua usaha mempertahankan dan mengiktiraf perlakuan LGBT ditolak, saya juga berharap agar tokoh dan pertubuhan yang memanipulasi prinsip hak asasi manusia untuk tujuan tersebut juga dikenakan tindakan sewajarnya tanpa mengira kedudukan masing-masing.

“Sebagai menegaskan pendirian tersebut juga, Perdana Menteri digesa supaya membawanya kepada Kabinet dan mengeluarkan suatu kenyataan rasmi kerajaan berhubung perkara ini agar usaha mempromosikan perlakuan songsang ini sama ada dalam bentuk pemikiran atau amalan dapat disekat secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas berkata, rakyat di di negara ini juga diseru supaya menolak para pemimpin yang mesra dan menyokong agenda LGBT.

“Agenda LGBT ini perlu ditentang bagi memelihara jati diri budaya dan sistem kekeluargaan masyarakat di negara ini daripada dirosakkan seperti yang berlaku di negara-negara Barat pada hari ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE