“Pasukan siasatan bersama te­lah membuat kesimpulan bahawa MH17 ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu buatan Rusia dan tembakan itu dilepaskan dari kawasan yang dikuasai pemberontak.

“Berdasarkan dua dapatan ini, Malaysia mahu tindakan tegas diambil. Kami telah berjanji bahawa pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat ini akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya kepada media Malaysia di sini hari ini.

“Ini janji kami kepada keluarga. Keluarga mahu keadilan. Maka kami akan meng­usahakannya,” katanya.

Malaysia, kata­nya, akan mengadakan mesyuarat bersama-sama dengan Be­landa dan Australia untuk membincangkan langkah selanjutnya.

“Kami perlu pastikan bahawa pihak yang bertanggungjawab itu mendapat hukuman setimpal,” katanya.

MH17 ditembak jatuh di wi­layah Donetsk, ti­mur Ukraine pada 17 Julai 2014, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 44 rakyat Malaysia.

Sementara itu, Perdana Menteri turut melawat se­buah limbungan kapal di sini yang dimiliki Kumpulan Genting mela­lui anak syarikatnya, Genting Hong Kong Ltd.

Genting Hong Kong membeli tiga limbungan kapal di Wismar, Warnemnde dan Stralsund di ne­geri Mecklenburg-Vorpommern, Jer­man untuk RM1.04 bilion bagi mengukuhkan kehadirannya da­lam sektor itu.

Najib yang dalam pusingan akhir lawatan rasmi tiga harinya ke Jerman, disambut oleh Pengerusi dan Ketua Eksekutif Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay, Penasihat, Presiden Pengasas dan Ketua Eksekutif Genting Hong Kong, Colin Au serta Pengarah Urusan MV Werften, Jarmo Laakso.

Ketiga-tiga limbungan kapal itu diuruskan oleh Genting dari Wismar.

Genting telah menamakan semula limbungan sebagai MV Werften dan akan memberi tumpuan membina kapal persiaran baharu yang besar.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, menghabiskan masa kira-kira sejam di limbungan kapal berkenaan. – BERNAMA