Baginda bertitah, peningkatan penggunaan beg plastik yang akhirnya akan dilupuskan di tapak pelupusan sampah hanya akan mengakibatkan pencemaran toksik di dalam tanah dan air.

"Beg plastik mengambil masa yang panjang untuk terurai selain akan memendekkan jangka hayat tapak pelupusan yang ada.

"Pelepasan beg plastik ke sungai dan lautan pula akan menjejaskan kehidupan marin dan ekosistem. Tanah dan air ini (tercemar) akhirnya akan diguna semula dan boleh menyebabkan pelbagai penyakit," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika berkenan berangkat melancarkan 'Kempen Kurangkan Beg Plastik' bersempena bulan Ramadan di Bazar Ramadan di Simpang Empat di sini semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah SWCorp Perlis, Mohd. Hidy Md. Dzahir. Turut hadir ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPKPs), Khairin Nazry Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Program anjuran SWCorp Perlis bersama Environment Idaman (E-Idaman) Sdn.Bhd itu mendapat kerjasama MPKPs, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan MAIPs.

Turut diedarkan bubur lambuk serta risalah-risalah mengenai Kempen Hargai Makanan Elakkan Pembaziran dan juga Kempen Guna Mangkuk Tingkat Sempena Ramadan.

Program tersebut disekalikan dengan aktiviti kayuhan berbasikal 'MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf' kali yang ke-41 bagi tahun ini yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Simpang Empat.

Terdahulu seramai 120 asnaf terpilih daripada kariah Simpang Empat, Sungai Baru dan Sungai Bugis menerima sumbangan agihan zakat MAIPs sebanyak RM600 setiap seorang dengan jumlah keseluruhannya sebanyak RM72,000 yang disempurnakan oleh baginda sendiri Yang Dipertua MAIPs.  - UTUSAN ONLINE