Perdana Menteri memaklumkan bahawa Kua­la Lumpur tidak mempunyai perjanjian ekstradisi de­ngan China.

“Agak rumit untuk menuduh China menyembunyikan dia, jadi kita akan usahakan beberapa cara atau melalui usaha-usaha persendirian untuk membawa balik Jho Low dari China,” kata Dr. Mahathir dalam mesyuarat Majlis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hubungan Luar di sini hari ini.

Jho Low dan bapanya, Tan Sri Low Hock Peng telah didakwa tanpa hadir di Malaysia bulan lepas terhadap pertuduhan berkaitan kecurian wang dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ditanya sama ada China bersetuju dengan Jho Low yang menyifatkan dirinya sebagai aset perisikan China, Dr. Mahathir berkata: “Saya tak fikir begitu. Saya tidak fikir China memberi sedikit pun penghormatan kepada dia.”

Ketika diminta panda­ngannya mengenai mengapa China enggan menghantar pulang Jho Low, beliau berkata: “Mungkin dia sedang cuba untuk tawar-menawar sesuatu atau seumpamanya.”

Dr. Mahathir mem­beri baya­ngan bahawa jumlah orang yang terlibat de­ngan pengubahan wang haram yang dikaitkan de­ngan skandal 1MDB ‘sa­ngat besar sehinggakan mustahil untuk mendapatkan semua mereka pada masa ini’.

“Ia perlu dilakukan secara berperingkat. Kita akan cari yang besar dulu. Dan memandangkan kita sangat bersungguh-sungguh hendak mendaulatkan undang-undang, ia mungkin mengambil masa lebih panjang. Kami mahu mengemukakan bukti-bukti kukuh yang boleh diterima mahkamah.

“Bagi tujuan itu, kami perlu menjalankan banyak pe­nyiasatan dan mengumpul banyak dokumen. Lambat-laun kita akan dapatkan semua yang lain itu," kata beliau. – BERNAMA