Penyelaras Batik Merbok UITM Cawangan Kedah, Zaidi Yusoff berkata, Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff berhasrat untuk mengenengahkan rekaan itu ke tahap yang lebih tertinggi.

Menurut beliau, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Raja Puan Muda Kedah baru-baru ini, bagi mempersembahkan koleksi baharu Batik Merbok yang amat sesuai untuk dijadikan baju kurung Kedah.

"Usaha dilakukan itu berjaya mengeratkan lagi hubungan baik antara UITM Cawangan Kedah dengan pihak istana di negeri ini.

"Sebelum ini, Batik Merbok telah dibawa ke luar negara termasuk Thailand, Jepun, Australia dan Indonesia. Malah, Korea Selatan juga antara destinasi baharu yang akan ditembusi Batik Merbok selepas ini,” katanya di sini, semalam.

Justeru, pihaknya berharap, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bersama Raja Puan Muda Kedah akan memakai pakaian Batik Merbok ketika Majlis Jamuan Teh sempena Pameran Seni dan Budaya di UITM cawangan itu pada 10 Mac ini.

"Batik Merbok sebelum ini sudah pun menjadi pilihan pihak istana melalui beberapa siri tempahan untuk dijadikan cenderahati kenang-kenangan yang beridentitikan Kedah kepada tetamu-tetamu luar negara," katanya.

Tambah beliau, pelbagai corak batik menarik hasil idea pensyarah dan pelajar Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UITM itu berinspirasikan alam sekitar di kawasan Lembah Bujang, di sini. - UTUSAN ONLINE