Menurut Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, langkah itu bertepatan dengan hasrat kementerian mempromosikan produk batik sebagai pakaian pilihan rakyat Malaysia serta warisan negara yang membanggakan.

"Sejajar dengan usaha menggalakkan amalan pemakaian batik Malaysia di semua peringkat selain untuk memupuk dan meningkatkan rasa suka terhadap seni warisan negara kita, suka saya katakan Batik Fest akan diletakkan dalam kalendar dan akan dijadikan acara tahunan kementerian ini.

"Kementerian juga akan meneruskan usaha memartabatkan kebudayaan, kesenian dan warisan negara seperti batik khasnya di peringkat antarabangsa," katanya ketika merasmikan Batik Fest 2019 di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di sini hari ini.

Yang turut hadir dalam majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman dan pengasas Batik Fest, Nisa Kasnoon.

Dalam pada itu, Muhammad Bakhtiar turut memberitahu, protokol pemakaian penjawat awam pada hari Khamis selepas ini akan menggunakan istilah 'Batik Malaysia', berbanding hanya 'batik' yang digunakan ketika ini.

Kata beliau, ia bertujuan membezakan antara batik Malaysia dengan Indonesia sekali gus menanam rasa bangga terhadap produk batik tempatan dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Ada orang tidak boleh beza batik Malaysia dengan Indonesia, jadi sekarang bila kod pakaian itu menyatakan 'Batik Malaysia', para menteri, timbalan menteri dan penjawat awam akan mempromosikan batik tempatan (dengan memakainya)," katanya. - UTUSAN ONLINE