Arifin Che Mat
ARIFIN CHE MAT

Sehubungan itu, bekas Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Arifin Che Mat bimbang keputusan membatalkan 3.1 juta saman AES dilihat memberi mesej yang salah apabila pesalah trafik berulang ini dilepaskan begitu sahaja.

Malah katanya, keputusan itu juga akan menyebabkan kerajaan dilihat pilih kasih kerana me­ngutamakan pihak bersalah ber­banding yang patuh pada undang-undang dengan segera melunaskan bayaran saman mereka sebelum ini.

“Kebanyakan yang ada saman AES tertunggak mempunyai lebih daripada satu, malah ada sampai 10 saman tak berbayar. Kalau AES sebelum ini hadir dengan sistem ‘demerit’ tak apalah juga kerana pesalah masih terkesan walaupun tidak perlu bayar saman.

“Namun nampaknya mereka dilepaskan begitu sahaja. Kita tak mahu kerajaan dilihat melepaskan mereka yang sudah biasa membuat kesalahan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Pe­ngangkutan, Anthony Loke mengumumkan ke­semua 3.1 juta saman AES sejak 2012 hingga 31 Ogos ini yang bernilai RM435 juta akan diba­talkan serta-merta.

Operasi kamera dan saman AES akan diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Ja­lan (JPJ) bermula 1 September ini.

Mengulas lanjut, Arifin mencadangkan supaya kerajaan segera melaksanakan sistem ‘demerit’ yang menurut beliau mampu meningkatkan disiplin pemandu di jalan raya.

“Malah, kerajaan juga boleh wujudkan kursus pemulihan un­tuk pengguna jalan raya yang ba­nyak melakukan kesalahan su­paya disiplin mereka dipertingkatkan,” katanya.

hishammuddin hashim
HISHAMUDDIN HASHIM

Sementara itu, Pengerusi Biro Undang-undang Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Hishamuddin Hashim berpendapat, sistem AES dengan format yang diguna pakai sekarang langsung tidak efektif dalam mengurangkan kemalangan jalan raya.

Hal ini kerana, menurut beliau, kedudukan kamera AES yang boleh diketahui umum melalui pemberitahuan di papan tanda dan pengesan dalam sistem navigasi menyebabkan pemandu menjadi hipokrit dengan memperlahankan kenderaan di kawasan yang ada kamera AES, namun meningkatkan kelajuan di kawasan yang tiada kamera AES.

Sehubungan itu kata beliau, tindakan kerajaan memindahkan operasi AES kepada JPJ juga tidak akan mendatangkan hasil selagi format tersebut tidak diubah.

“Saya menyeru kerajaan untuk membuat kajian semula supaya mekanisme lebih efektif dapat dikenal pasti,” katanya.