Perdana Menteri berkata, perkara itu sudah diputuskan sebulat suara di Kabinet sebelum ini dengan mengambil kira bantahan daripada rakyat.

“Kita sudah bagi tahu bahawa ini adalah keputusan Kabinet. Jadi tidak ada keperluan untuk bawa ke Parlimen. Dari mana Zahid (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) dapat peraturan ini (bawa ke Parlimen)?” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan pegawai-pegawai kanan kerajaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi di sini semalam.

Beliau mengulas tentang kenyataan pemimpin pembangkang yang mempertikaikan kenyataan akhbar dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri mengenai keputusan Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD yang didakwa tidak mengikut formaliti pentadbiran.

Hal demikian kerana perkara itu hanya boleh disahkan melalui tanda tangan Perdana Menteri sendiri yang kemudiannya membawa usul itu ke Parlimen agar dapat direkodkan dalam hansard rasmi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata, pendekatan menggunakan kenya­taan akhbar tidak boleh diterima dan tidak menjamin bahawa itu tidak akan berubah pada bila-bila masa apatah lagi dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.

Mengulas lanjut Dr. Mahathir turut menafikan keputusan tidak meratifikasi ICERD disebabkan oleh tekanan daripada parti pembangkang.

“Semasa di New York, saya sudah nyatakan bahawa negara kita mempunyai penduduk berbilang bangsa, agama dan sebagainya, perkara yang hendak diratifikasi ini adalah perkara yang rumit, apa yang penting adalah apakah penerimaan rakyat, sebab itu nampak jelas bahawa rakyat tidak terima ini.

“Perkara ini juga bukan kerana politik tetapi kita patuh kerana kehendak rakyat. Lagipun untuk pinda Perlembagaan memerlukan dua pertiga dan dalam kerajaan yang ada sekarang ini tidak ada dua pertiga malah dalam kerajaan pun ada yang tidak bersetuju,” katanya.

Beliau turut menafikan pembatalan ratifikasi ICERD itu berkait dengan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Rantau tidak lama lagi demi meraih perhatian pengundi Melayu.

Menyentuh tentang perhimpunan membantah ICERD di Kuala Lumpur pada 8 Disember ini, katanya, beliau bersikap terbuka dengan perkara tersebut yang tetap diadakan walaupun setelah ia tidak diratifikasi.

“Ini negara demokrasi mereka nak buat apa buatlah tetapi ja­ngan buang sampah sudahlah,” katanya.