Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM1.9 bilion untuk mewujudkan persekitaran yang bersih, namun usaha itu menjadi sia-sia jika pusat pelupusan sampah haram masih lagi wujud.

Katanya, SWCorp perlu meletakkan usaha untuk membasmi pusat pelupusan sampah haram sebagai agenda utama mereka kerana jika tidak diberikan perhatian serius, perkara itu akan te­rus berleluasa dan mewujudkan persekitaran alam sekitar yang tidak bersih.

“Saya faham, SWCorp juga mempunyai rintangan dalam hal ini, misalnya mereka berdepan dengan tonto yang menghalang mereka menjalankan tugas-tugas yang telah diamanahkan. Oleh itu, kita akan memberi latihan secukupnya kepada penguat kuasa agensi itu sebagai persediaan bagi menghadapi cabaran ini.

“Saya juga yakin SWCorp mampu menjalankan tugas mereka terutama selepas kita me­nguatkuasakan Akta 672 dengan tujuan menyeragamkan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dan lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) antara SWCorp dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.

MoU tersebut ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Bahrin Mohd. Jamil bersama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohammad Mantek.

Menurut Noh, SWCorp sejak tahun 2014 hingga tahun ini telah mengeluarkan lebih 2,000 notis berhubung pusat pelupusan sampah haram dan sebanyak 16 kertas siasatan telah dibuka untuk tujuan pendakwaan.

Selain itu katanya, kementerian merancang menguatkuasakan Akta 672 kepada pihak industri kerana sektor itu merupakan antara penyumbang terbesar sampah sarap di negara ini.

“Kita kena buat peraturan untuk ambil tindakan atau menguatkuasakan Akta 672 kepada industri. Mereka tidak boleh terlepas dengan akta ini. Untuk kawasan perumahan mereka akan letak sampah di depan rumah dan kita kutip, namun industri kita tidak tahu di mana sisa sampah sarap dibuang.

“Kita juga tidak dapat masuk ke kawasan industri untuk melihat kaedah pelupusan mereka termasuk di kawasan-kawasan pembangunan, jadi perlu ada satu peraturan dan undang-undang yang jelas berhubung perkara tersebut bagi mengelak sisa pe­pejal tidak diurus dengan baik,” katanya.

Mengenai sindiket pemberi pinjam wang haram atau ah long yang semakin ganas sehingga menggunakan bom buatan sendiri untuk mencederakan peminjamnya, Noh berkata, perkara itu tidak melibatkan peminjam wang yang berlesen.

“Itu kerja ah long tiada kaitan dengan kita, walau bagaimanapun mana-mana individu yang dianiaya oleh pinjaman wang berlesen boleh membuat laporan kepada kementerian untuk diambil tindakan lanjut. Mereka yang diberikan lesen telah mematuhi beberapa peraturan yang ditetapkan seperti kadar faedah,” katanya.