Mereka mempertikaikan Perdana Menteri kerana menimbulkan isu-isu politik negara dalam forum yang dihadiri oleh ratusan pelabur antarabangsa dan pemimpin syarikat multinasional.

Bagi membalas kritikan mereka, Najib wajar menggunakan forum itu untuk menceritakan perkembangan terkini isu-isu negara termasuk dalam hal ehwal politik, kerana itulah yang mahu didengari oleh peserta antarabangsa yang hadir.

Komitmen kerajaan untuk membasmi kronisme perlu diketahui oleh pelabur dan pengurus dana asing, kerana dasar yang lebih adil akan menarik minat mereka untuk melabur ke Malaysia.

Kronisme membuatkan pelabur tawar hati untuk melabur di dalam Malaysia, kerana amalan itu menafikan peluang pihak yang benar-benar berkelayakan dan serius untuk berniaga.

Nama forum itu sendiri Invest Malaysia, cukup menerangkan tujuan penganjuran program itu adalah untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

Perlu ingat, pemimpin negara tidak mempunyai banyak ruang bagi menceritakan pencapaian Malaysia kepada pelabur antarabangsa.

Siapa lagi hendak diharapkan kalau bukan Perdana Menteri untuk menarik pelaburan asing dalam saat-saat genting ketika negara lain juga merebut pelaburan asing.

Adakah kita mengharapkan DAP yang mengetuai Pakatan Harapan untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelaburan, bagi menyaingi negara-negara lain terutamanya Singapura yang digemari oleh pelabur.

Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) serta agensi penarafan global turut menjadikan faktor kestabilan politik serta komitmen kerajaan menentang amalan salah guna kuasa sebagai ukuran mereka.

Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr.Nazri Khan Adam Khan berkata, penerangan Najib perlu demi menangani persepsi negatif dalam kalangan pelabur asing yang sudah kerap mendengar ulasan buruk dan berat sebelah mengenai Malaysia.

“Isu-isu politik juga menjadi pertimbangan mereka apabila membuat keputusan sama ada mahu melabur di Malaysia atau tidak, bukan aspek ekonomi semata-mata,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kestabilan politik dapat diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi kerana kehadiran pelabur asing dapat menyuntik aktiviti ekonomi negara termasuk menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Tidak adil kita membiarkan segelintir pihak tanpa henti menceritakan perkara buruk mengenai Malaysia, tetapi menolak hak Perdana Menteri untuk mempertahankan tanah air.