Tujuh remaja berusia 13 hingga 15 tahun itu ditahan dua Unit Pe­ronda Lebuh Raya (HMPV) dalam Op Basikal Lajak di bandar ini kira-kira pukul 4 petang.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahid Musa berkata, remaja itu ditahan semasa melalui jalan utama iaitu Jalan Zabedah, Jalan Suasa dan Jalan Ungku Ahmad.

Beliau berkata, HMPV berke­naan yang sedang membuat rondaan mengesan aksi remaja me­nunggang basikal yang diubah suai secara berbahaya melalui laluan jalan raya yang sibuk di kawasan bandar sebelum menahan mereka.

“Pasukan trafik menahan ke­semua remaja yang terlibat kerana berkemungkinan melakukan aksi berbahaya. Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Balai Polis Trafik Ibu pejabat Polis (IPD) Batu Pahat.

“Basikal yang digunakan turut dirampas dan disita di bawah Seksyen 112 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Wahid berkata, tujuh saman dikeluarkan terhadap penunggang basikal tersebut mengikut peraturan 42 (1)(a) LN 166/59 kaedah-kaedah lalu lintas 1959 kerana mengubah suai basikal.

Katanya, pihak polis turut memanggil ibu bapa atau penjaga remaja tersebut untuk sesi kaunseling di Balai Polis Trafik sebelum membebaskan anak mereka dengan amaran lisan.

“Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan agar bertanggungjawab memantau pergerakan anak-anak mereka selepas waktu sekolah terutama pada hujung minggu yang aktif berbasikal lajak dan pihak polis akan terus memantau kegiatan ini agar tidak terus berulang,” ujarnya.