Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Mohd. Sofi Abdul Wahab berkata, antara langkah yang akan diambil bertujuan mempromosikan bas berkenaan termasuklah menyediakan papan tanda arah di Melaka Sentral serta kempen menaiki bas percuma.

“Setakat ini, seramai 450 penumpang telah menggunakan perkhidmatan bas percuma di ketiga-tiga laluan yang disediakan dan daripada jumlah itu, 300 adalah warga asing, secara langsung mencatatkan kutipan sebanyak RM650 menerusi kadar bayaran RM1 sehingga RM2.30.

“Kita sedang memikirkan (langkah mempromosi bas percuma) sebab kita rasa masih ada lagi rakyat yang tidak sedar akan kewujudan bas percuma ini. Kini kita akan memikirkan cara untuk memberi kesedaran kepada rakyat berhubung bas berkenaan dengan menggunakan media massa serta berkempen supaya masyarakat akan sedar (kewujudan bas berkenaan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat tinjauan terhadap operasi bas percuma berkenaan serta kekerapan pengguna menggunakan perkhidmatan tersebut di di Melaka Sentral di sini, sebentar tadi.

Baru-baru ini, Ketua Menteri, Adly Zahari memberitahu, pengoperasian tiga bas percuma yang menelan kos kira-kira RM1.4 juta yang ditanggung beberapa agensi dan anak syarikat kerajaan negeri serta syarikat swasta menerusi Tabung Pengangkutan Awam Kerajaan Negeri Melaka bakal memanfaatkan kira-kira 290,000 penduduk negeri ini dalam setahun.

Menurutnya, bas tersebut akan melalui tiga laluan utama iaitu dari Melaka Sentral ke Mydin melalui Simpang Kipmart; Melaka Sentral ke Mydin melalui Hospital Besar; dan Melaka Sentral ke Pasar Transit bermula 6.30 pagi hingga 8 malam setiap hari dan dikendalikan syarikat kerajaan negeri Panorama Melaka Sdn Bhd. - UTUSAN ONLINE