Selain itu, beberapa laluan baharu juga diperkenalkan melibatkan lokasi-lokasi menarik antaranya di Tambun, Gopeng dan Batu Gajah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata, pertambahan bas pelancongan itu sejajar dengan usaha menggandakan lagi kedatangan pelancong ke bandar raya ini.

Menurut beliau, sejak diperkenalkan, perkhidmatan bas HOHO telah menarik kira-kira 1,000 orang penumpang termasuk pelancong tempatan.

“Terbaru kita telah menjalinkan kerjasama dengan lima rakan strategik iaitu BlueBlue Playground, BookXcess Kong Heng Ipoh, Chan Jiang White Coffe, Cycledios dan Wow Shop.

“Menerusi kerjasama ini, penumpang bas HOHO boleh mendapatkan potongan harga sehingga 20 peratus apabila berkunjung dikesemua lima premis berkenaan yang merupakan destinasi tumpuan pelancong di sini,” ujarnya.

Terdahulu, Kar Hing menyertai kira-kira 25 orang wakil-wakil agensi pelancongan dari Hong Kong menaiki bas HOHO bersiar-siar di sekitar bandar raya ini sebagai salah satu inisiatif memperkenalkan produk pelancongan negeri.

Dalam pada itu katanya, bas HOHO masih menawarkan tiket pada harga promosi sehingga penghujung Disember ini iaitu RM12 bagi pelancong tempatan dan RM35 untuk warga asing.

Perkhidmatan bas itu memulakan operasinya pada 23 Mac lalu dengan peringkat awal melibatkan tiga buah bas.

Ia melibatkan sebuah bas separuh bumbung dan dua buah bas berbumbung penuh yang beroperasi pada hari Sabtu dan Ahad sahaja dari pukul 8.30 pagi sehingga 9 malam.

Bas ini akan melalui 13 hentian bermula dari Terminal Meru Raya sehingga ke kawasan tumpuan pelancongan di bandar lama Ipoh. - UTUSAN ONLINE