Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, bas itu kelak akan diserahkan kepada pihak pengurusan Taman Tamadun Islam (TTI) di sini sebagai sebahagian daripada produk tarikan baharu dalam pakej pelancongannya.

Katanya, orang ramai tentunya tertunggu-tunggu untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang unik, pertama seumpamanya di Asia ini namun beliau mensasarkan perkhidmatan di sekitar muara sungai Terengganu akan hanya dapat dimulakan awal tahun depan.

"Pada masa ini  bas mengalami kerosakan sewaktu dipandu uji kali kedua pada 13 Mac lalu. Alat gantinya dari Jerman dijangka tiba pada esok (hari ini) dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Julai dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh syarikat pengeluar.

Beliau berkata demikian selepas menerima taklimat berhubung Amphicoach daripada Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pelancongan negeri, di sini hari ini.

Bas yang ditempah di Malta pada 30 April 2014 yang sekain lama menjadi isu sensasi di negeri ini tentang harga dan terlalu lama untuk disiapkan, tiba di negara pada 28 Januari lalu dan dibawa ke Terengganu sebulan kemudiannya selepas mendapat pelepasan, telah dua kali dilakukan pandu uji.

Menurut Ariffin, pihak pembekal kini dikenakan bayaran denda RM1,100 sehari atas kelewatan menyerahkan kenderaan mengikut jadual dan sehingga kini telah mencecah lebih RM200,000.

Pembelian Amphicoach merupakan idea bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bagi dwifungsi iaitu untuk operasi menyelamat pada musim banjir dan tujuan pelancongan di tasik Kenyir

Namun Ariffin berkata, kerajaan Pas tidak berhasrat menggunakan Amphicoach untuk kegunaan operasi menyelamat mangsa banjir kerana kenderaan itu ternyata tidak sesuai untuk kegunaan lasak.

"Berdasarkan dua sesi ujian yang dilakukan sebelum ini, kami berpendapat Amphicoach tidak mampu melakukan 'kerja berat' tetapi lebih sesuai sebagai produk pelancongan," ujarnya. - UTUSAN ONLINE