Menurutnya, dalam tempoh lima hari ini, beliau sudah mendengar taklimat tentang struktur pentadbiran dan beberapa projek yang sedang dilaksanakan di bawah kementeriannya.

Katanya, ketika ini, beliau hanya mendengar taklimat daripada para pegawai kementerian kerana dirinya masih baru belajar tentang tugas sebagai menteri.

“Saya kena biasakan diri (dengan tugas sebagai menteri). Doakan saya punya keupayaan dan kebijaksanaan untuk menjalankan tugas terutama memperjuangkan kepentingan Sarawak dan semua kaum di negeri ini.

“Banyak yang perlu diberi perhatian kepada Sarawak terutama aspek infrastruktur berkaitan dengan sekolah daif dan pembinaan hospital. Inilah perkara-perkara yang diberi keutamaan di bawah kementerian saya,” ujarnya dalam sidang akhbar di sebuah hotel di sini hari ini.

Sidang akhbar tersebut merupakan pertama diadakan di Sarawak oleh Baru sebagai Menteri Kerja Raya sebaik sahaja pulang ke Kuching selepas mengangkat sumpah dan melapor diri memulakan tugas di kementeriannya di ibu negara pada Selasa lalu.

Terdahulu, kepulangan Baru yang juga Pengerusi PKR Sarawak serta satu-satunya pemimpin Pakatan Harapan negeri yang dipilih sebagai Menteri penuh di peringkat Persekutuan disambut meriah oleh para pemimpin parti dan penyokongnya yang menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Antara yang hadir menyambut beliau ialah Naib Pengerusi PKR Sarawak, Abdul Jalil Bujang; Naib Ketua Wanita PKR Pusat, Voon Siak Nee; Ketua Wanita PKR Sarawak, Norhanim Mokhsen; Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dan Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How.

Mengulas lanjut, Baru berkata, pelantikannya sebagai Menteri Kerja Raya amat bersesuaian kerana sebagai Menteri dari Sarawak, beliau amat memahami isu berkaitan kemudahan infrastruktur yang dihadapi oleh rakyat negeri ini.

“Kemudahan infrastruktur yang diperlukan oleh masyarakat peringkat bawahan seperti hospital, sekolah, bekalan air bersih dan elektrik menjadi fokus utama, malah ia sering dibangkitkan oleh saya semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.

“Saya berharap anda (rakyat Sarawak) dapat bersabar untuk saya menyelesaikan semua masalah ini,” katanya.