Proses pemilihan berjalan lancar apabila kesemua pimpinan termasuk Presiden, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani dan Timbalannya, Rizal Man Yunus menang tanpa bertanding.

Turut terpilih semula untuk menyandang tanggungjawab bagi tempoh sepenggal lagi adalah dua Naib Presiden, Kamaruddin Hamzah dan Zakaria Chik serta 10 ahli jawatankuasa persatuan tersebut.

Mohd. Fared ketika ditemui berkata, beliau bersyukur masih diberi ruang untuk berkhidmat dan berazam untuk melakukan yang terbaik bagi meningkatkan lagi sukan Muay Thai di negeri ini.

"Persatuan ini sebenarnya adalah lubuk melahirkan peninju Muay Thai untuk mewakili negara seperti Ain Kamaruddin dan Mat Ropi Hassan yang akan bertanding di Sukan SEA ke-29 nanti.

"Kami menghadapi kekangan kewangan tetapi semangat dan minat tinggi oleh penggiat sukan ini sanggup berkorban wang serta tenaga agar anak-anak muda kita mempunyai platform dan tidak terjebak dengan anasir negatif.

"Sehingga kini PSBNK sudah mempunyai tidak kurang 1,400 peninju muda yang berlatih di bawah 70 kelab naungan kami," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-4 Tahun 2017 PSBNK di sebuah hotel di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE