Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, operasi mesin tersebut akan dikendalikan syarikat Shan Poornam Metals Sdn. Bhd dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menurutnya, usaha positif syarikat swasta membuat pela­buran untuk memiliki sistem pengurusan berteknologi tinggi itu membantu kerajaan menaik taraf sistem pengurusan e-waste atau pengurusan bahan buangan dan paling utama dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.

“Buat masa ini, tiada sistem pengurusan e-waste daripada isi rumah dilaksanakan sementara e-waste yang dijana dari sektor industri adalah terkawal di bawah undang-undang tertentu.

“Namun dengan adanya mesin berteknologi itu, kerajaan dapat meningkatkan tahap kelestarian dalam sistem pengurusan e-waste dari isi rumah yang meliputi aspek pengumpulan, pengangkutan, rawatan dan pelupusan e-waste,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani pembelian mesin kitar semula untuk barangan elek­trik dan elektronik daripada isi rumah serta perolehan semula klorofluorokarbon (CFC) oleh Shan Poornam Metals dengan syarikat Jerman, Andritz MeWa GmBH di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata, pengurusan e-waste dari isi rumah mempunyai cabaran yang besar kerana penjanaannya tinggi dan kandu­ngan bahan kimia seperti merkuri dan CFC adalah berbahaya jus­teru ia harus ditangani dengan berhati-hati.

Katanya, pada masa sekarang e-waste seperti plastik dan logam biasanya dikutip untuk dikitar semula manakala bahagian yang tidak dikehendaki seperti kup­rum dan tin dibuang ke tapak pelupusan atau ada juga yang dihapuskan secara haram.